Dari Ibn Umar r.a berkata: Rasulullah saw memegang pundakku dan bersabda, ‘Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau penyeberang jalan.” Ibnu Umar r.a berkata, “ jangan menunggu sore, ambillah persiapan saat engkau sehat. Untuk menghadapi masa sakitmu dan saat hidupmu untuk sesudah kematianmu.” [HR. Bukhari]
Sengaja saya memilih hadith ini untuk dipapar di post ini. Saya menemui hadith ini tika saya mencari rujukan hadith untuk tutoran saya. Puan itu mengharapkan kami untuk menyiapkan tutoran yang diberi dengan sedikit tambahan dari bahan rujukan lain selain nota kuliahnya. Mujur ia kelas institusi Islam. Yang tiada lukisan keluk dan sebagai. [kalau tidak, jenuh juga melakar dan memodelkannya.]
Selepas makan ubat lewat petang tadi, saya terus terlena dengan rasa sejuk yang menggigil. Seksa juga melalui hari dengan nikmat kesihatan yang ditarik sebentar olehNya.[ itu baru ditarik sekejap.] Oleh itu, bersyukurlah wahai diri yang sering leka dengan nikmat yang diberi percuma. Nikmat hidup, nikmat berada di negara yang masih aman, nikmat Islam dan segala nikmat yang dikurnia oleh Yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Saya tersedar kala jam usai waktu maghrib. Mamai sahaja kala kakak memanggil solat dan makan malam. Uh, kesan ubatnya masih berbekas dalam alur darah ini. Kemudian berlompat-lompat pula ingatan dalam minda saya ini akan kerja-kerja di atas meja yang saya tinggalkan beberapa waktu tadi. Saya harus teguh menyiapkannya malam ini sebelum meninggalkannya semula hujung minggu ini. Saya jarang menyiapkan kerja persekolahan di rumah [kampung] kerana fokus saya di sana nanti menuntut saya untuk tidak bersenang-senang. Sepatah kata adik saya, pulangnya saya ke sana menukar status saya sebagai surirumah tangga. Walau belum berumahtangga, tetapi rumah yang didiami bonda dan adik-adik saya ini cukup membuat saya rasa bertanggungjawab melakukan kerja-kerja rumah. Tidak tegar rasanya membiarkan bonda yang tabah melakukan semua kerja sendirian.
Yah, inilah akibatnya menangguh-nangguh kerja yang diberi. Seharusnya saya mampu menyiapkan tutoran tersebut beberapa hari yang lepas. Tetapi ketidakcekalan saya sendiri mematuhi jadual masa saya sendiri menyebabkan kerja yang sedikit itu dihimpun-himpun lalu menuntut masa yang lebih untuk menyiapkannya kini. Ada-ada sahaja modalnya jika mahu memberi alasan.
Ini baru sahaja mengenai kerja perkuliahan yang ditangguhkan. Belum lagi bicara kerja-kerja amal, kerja-kerja santunan dan sebagainya. Astagfirullah al’azim.... Ya Allah, kurniakanlah kepada diriku dan sahabat-sahabatku kesempatan untuk melakukan amanah dan tangungjawab yang diberi dengan sebaik mungkin. Ikhlaskanlah hati kami melakukan semua tuntutan hidup ini. ameen
No comments:
Post a Comment