Saturday, March 28, 2009

dosa & hati

sekadar renungan bersama.

************************************************************************************
Dosa tanpa taubat sebabkan satu titik hitam pada hati
HATI adalah organ yang paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan oleh Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Niat yang ikhlas itu akan diberi pahala oleh Allah.
Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya adalah membabitkan seluruh anggota tubuh badan manusia. Maka, akan lahirlah penyakit masyarakat berpunca dari hati yang sudah rosak itu.
Justeru, hati adalah amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.
Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana dosa. Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa bertaubat itu akan menyebabkan terjadinya satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Maka bayangkanlah bagaimana pula kalau sepuluh dosa? Seratus dosa? Seribu dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.
Perkara ini jelas digambarkan dalam hadis Rasulullah bermaksud: “Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.
Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Hadis ini selari dengan firman Allah yang bermaksud “Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).
Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak akan masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan kita untuk mengamalkannya.
Allah berfirman yang bermaksud “Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya, dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya.
“Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat
74).
Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan bahawa batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah.
Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.
Perkara yang paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlakulah kemusnahan yang amat besar terhadap manusia.
Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah natijahnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati kita. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada akhirat kelak.
Persoalannya sekarang, kenapa hati mati? Hati itu mati disebabkan perkara berikut:
Pertama: Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Allah berfirman bermaksud “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Zumar, ayat 22).
Kedua: Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati.
Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.
Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.
Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).
Firman Allah bermaksud “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra'd, ayat 28)
Firman-Nya lagi bermaksud “Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik.” (Surah al-Syura, ayat 88 - 89)

* moga dipelihara hati, iman dan ilmu..

Saturday, March 21, 2009

oh Umar!!

Kalian kelak tak Umar Al-Khatab?
Pemuda kecil yang berhati waja yang menjadi ahli gusti waktu belianya, menjadi jaguh tunggang kuda zaman mudanya.
Ayah berhati batu yang pernah menanam hidup-hidup anak perempuannya yang baru pandai berjalan dek kerana mahu menunjukkan bahawa dia masih memegang amalan nenek moyangnya.
Lelaki bengis yang bakal sahaja menghunuskan pedangnya andai sesiapa berani membuat dia marah.
Itulah sikap dan sifat Umar al-Khatab sebelum dia memeluk Islam dan mengamal ajaran Rasulullah seterusnya menjadi pemimpin reformis dunia Islam.
Jika kalian membaca kisah hidupnya, kalian pasti merasakan betapa jaguhnya Umar Al-Khatab ini. Kalian juga mengkin boleh merasakan betapa lembutnya hati Umar walau pada luarannya sangat garang dan bengis!
Kalian juga boleh sahaja menghayati betapa khalifah kedua Islam ini sangat meyayangi dan menyanjungi Rasulullah walau sebelum keIslamannya, dialah orang yang sangat membenci Rasulullah malah pernah berniat membunuh baginda s.a.w.
Seterusnya perhatikanlah bagaimana beliau membalas perbuatan jahat kaum Quraisy dengan sengaja mengelilingi kota mengumumkan pengIslaman beliau. Lihat juga bagaimana beliau sangat bijak menyusun strategi peperangan dan lantikan orang yang betul untuk menjadi ketua ke medan perang.
Umar jugalah yang mengasas sistem politik Islam disamping melaksanakan undang-undang syariah serta berjaya membentuk sebuah negara Islam yang baru.
betapa dia seorang yang berpandangan jauh sehingga mencetuskan idea pengumpulan ayat-ayat Al-Quran selepas kewafatan baginda s.a.w dan kesyahidan penghafaz-penghafaz Al-Quran ketika itu.
Dia juga berjaya menundukkan kerajaan Parsi dan Rom walhal dua kerajaan ini merupakan kuasa yang sangat hebat ketika itu.
Walaupun beliau berada di tampuk kekuasaan, pencetus zaman keemasan negara Islam ini masih hidup sederhana mencontohi Rasulullah s.a.w

~[masih dalam mood menghabiskan novel Umar al-Khatab..]~

the juicy truth...


Tahu tak satu kisah berkenaan limau ni?
Suatu hari seorang wanita tua membawa beberapa biji limau dan memberi limau tersebut kepada baginda s.a.w. ketika itu,baginda bersama beberapa orang sahabat baginda.
Diambilnya limau tersebut,lalu dikupas dan dimakan seulas demi seulas. Sambil menyuap satu persatu ulas limau tersebut, bibir baginda tidak lepas-lepas daripada senyuman. Baginda memakannya sampai habis. Sedikitpun baginda tidak menyuakan kepada sahabat-sahabat yang lain. Wanita tua itu sangat berbangga dan senang hati melihat baginda makan sampai habis. Setelah itu,wanita tua itu pun pulang. Baginda yang sering mendahulukan sahabat untuk makan menyebabkan sahabat-sahabat tertanya-tanya mengapa baginda tidak menghulurkan seulas dua kepada mereka seperti kebiasaan.
Baginda menjelaskan bahawa buah limau tersebut sangat masam [baca dengan perasaan memakan sesuatu dengan saangat masam]. Baginda risau jika dia menghulurkan buah tersebut kepada sahabat-sahabat, mata sahabat akan mengenyitkan mata dan memarahi wanita tua itu kerana membawa buah limau yang masam kepada baginda Rasulullah.
Subhanallah.. lihat, betapa cantik akhlak Rasulullah. Baginda boleh tersenyum lagi sambil memakan buah yang masam tadi. Malahan tidak disuakan makanan itu agar tidak tersebar rasa masam buah tersebut ke atas sahabat baginda. Nah, bagaimana reaksi anda jika memakan buah yang masam. Jika tak terluah dek kata-kata, mungkin muka anda akan kerut seribu sampai menggeletar seluruh badan menahan rasa masam itu.
* jazakillah hu jazaa hajar yang menceritakan kisah ini kepada saya. Sungguh seronok sebenarnya menceritakan kisah-kisah Rasulullah ini yang merangkul Anugerah Lelaki Paling Terkenal di seluruh dunia ini. MasyaAllah..

Monday, March 9, 2009

aduhai blog...

rasanya blog saya selepas ini akan lebih kerap dikunjungi memandang kempen berblog sedang hangat di persekitaran saya. ya, semuanya di hujung jari anda. bayangkan beberapa hari lepas saya hanya melawat ke blog sahabat saya, seterusnya membuat saya membuka link perniagaan yang indah dari satu blog ke satu blog. ralit saya dibuatnya..

KOMUNITI BLOG

Wah, rakan-rakan saya sedang rancak membina blog, dan mempublish blog masing-masing. yang pastinya selepas ini,mereka akan terkena 'demam blog', 'angau internet', dan sabagainya. bayangkan,dalam bilik pembelajaran ini sahaja, semuanya telah membina blog!cuma seorang akhawat ini enggan berkongsi blognya bersama kami. saya sendiri kurang jelas mengapa dia sedemikian.sedikit provokasi buatnya, "yelah, siapalah kami ni nak baca blognya.."
seorang teman saya membuka suatu rahsia dia dengan teman akrabnya. dia memanjangkan taaruf mereka dengan menerokai entri-entri sahabatnya. bahkan dia menemui lebih ramai kawan-kawan lain melalui blog teman akrabnya.

KOSONG JE KE?

acapkali kenalan2 mempersoalkan warna latar blog saya ini. adakah saya membiarkannya putih semata-mata?apakah yang saya mahu tonjolkan dari warna putih itu sebenarnya? gelak hati saya memikirkan jawapannya.. ^_^
saya pernah berniat mahu menukarnya atau sekurang-kurangnya menambah sedikit warna warni di sana sini. di awal penyertaan komuniti ini, lama saya mengedit mana-mana yang perlu. namun hasilnya sering membikin saya memarahi teknologi tidak bernyawa ini. kini, saya lebih suka ia menjadi seperti ia kini. namun, mungkin juga ia akan bertukar ke arah yang lebih menarik andai ada tangan-tangan yang meng'offer' untuk mengubahnya. akan adakah? -_*
walau apapun, saya mengharapkan saya dapat istiqamah dengan apa yang saya buat. walau sekecil-kecil perkara yang berfaedah. bak kata ummi, jika hasan al-banna meninggalkan pelbagai risalah taklim dan dakwah kepada generasi hadapannya, maka apakah yang kita akan tinggalkan buat bekalan generasi kita kelak?
namun, bolehkah saya mengiktiraf secebis usaha saya di blog ini [yang kadang-kadang lebih merapu je..] sebagai satu peninggalan bahan untuk dirujuk di masa hadapan?
hmm, mungkin saya perlu lebih serius dalam penulisan selepas ini...
~Ya tuhanku, tiadalah Engkau menciptakan segalanya ini dengan sia-sia...~

Sunday, March 8, 2009

salam maulidur


selamat menyambut maulidur rasul! selawat serta salam buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
baru kelmarin selesai membaca buku '24 jam bersama Rasulullah'..
wah, kerinduan kepadanya yang amat..