Wednesday, June 17, 2009

Hari Bapa

Hari Bapa akan bertandang lagi beberapa hari. Iklan-iklan dan promosi memperingati bapa pun kian rancak dilakukan. Ketika saya menziarahi sahabat tempoh hari, saya sedar betapa sahabat saya sangat ingin menjaga ibunya dan sukar untuk berjauhan dengannya kerana ayahnya telah tiada untuk menjadi teman ibunya dan penjaga adik-adiknya. Betapa dia sangat ingin menjaga ibunya dari sunyi bersendirian dan menjadi teman berbual. Perasaan kasih seorang anak kepada ibu yang juga kini menggalas peranan seorang ayah. Ya, perasaan yang pernah mengecam saya lewat beberapa tika dahulu.

Dari kecil, saya agak rapat dengan ibu bapa saya berbanding adik-beradik yang lain. Saya lebih banyak membesar dan bergaul di sekitar lingkungan aktiviti ibu bapa saya daripada berlibur atau bergaul dengan rakan-rakan sekolah. Apabila telah memasuki alam matrikulasi dan universiti ini, barulah saya punyai lingkungan kenalan yang pelbagai dan rapat.

Dari kecil, saya suka duduk di sebelah tempat memandu apabila ingin pulang ke kampung atau ingin bepergian ke mana-mana. Saya akan dapat melihat ayah memandu sambil saya menikmati pemandangan perjalanan dengan luasnya. Memandangkan saya sukar untuk tidur apabila berada dalam kenderaan, maka bonda takkan kisah jika saya duduk di hadapan. Dan saya lebih-lebih sukanya kerana dapat duduk di depan dan menemani ayah memandu. Pemanduan yang memakan masa yang lama memang meletihkan. Kadang-kadang saya sengaja mencetuskan perbualan agar ayah tidak mengantuk. Dan, jika dia rajin dia akan berbual mengenai peta perjalanan kami, sejarah tempat-tempat yang kami lewati hingga boleh terkeluar cerita-cerita pengembaraannya waktu zaman muda, kisah hidup adik-beradiknya malah kadang-kadang diceritakan juga kepada saya isu semasa. Pernah sekali dahulu, dia meletakkan saya di pangkuannya agar saya boleh memandu stering kereta. Saya yang kecut perut masa itu hanya berani memegang stering kereta yang sedang bergerak itu untuk beberapa minit sahaja.

Setiap kali ulangtahun kelahiran kami adik beradik, dia tidak pernah lupa untuk mengucapkannya kepada kami. Walaupun dia tidak menjanjikan hadiah lumayan, tetapi ingatannya kepada kami tidak pernah luput. Pernah sekali waktu dia kerja jauh, dia menelefon bonda dua kali kerana lupa untuk mengucapkan selamat hari lahir dalam panggilan pertama. Dan saya juga perasan, dia akan membawa kami makan di luar atau membawa balik lauk yang sedap setiap kali ulang tahun perkahwinannya dengan bonda. Mungkin kasih sayangnya tidak terluah dengan kata-kata atau belaian, tetapi kami dapat rasainya dalam tindakan-tindakan yang dilakukannya.

Saya juga tidak pernah lupa pujiannya kepada saya ketika prestasi akademik saya mula mengatasi abang-abang saya waktu sekolah dahulu. Melayang sebentar perasaan apabila dipuji apatah lagi pujiannya keluar dari mulut insan yang jarang melafazkannya. Kami adik beradik tidak pernah dipaksa atau diperiksa kerja sekolah kami, tapi setiap malam dia akan bertanya adakah kami telah menyiapkan kerja sekolah.. Dia juga sangat jarang memarahi kami adik beradik. Pukul pun jarang sekali. Nyata dia banyak memberi kebebasan dan meletakkan kepercayaannya kepada kami untuk menjadi diri kami. Tidak hairan jika karektor kami adik beradik agak berbeza antara satu sama lain.

Ketika di matrikulasi, seingat saya, saya pernah meminta sekali sahaja duit tambahan darinya. Itupun kerana sangat terdesak. Saat bantuan itu tiba, saya dapat merasai betapa sukarnya dia mengurus nafkah dan rezeki kami.

’maafkan abah, ni sahaja yang abah mampu bagi akak..’

Sebaris ayat yang di’sms’kan yang sangat menyentuh kalbu walaupun jarak memisahkan. Dan dia sahaja dalam keluarga saya yang memanggil saya ’kakak’. katanya, saya sudah besar dan memiliki 2 orang adik. Maka saya perlu lebih matang.

Namun, pemergiannya menemui Ilahi pada 30 Januari 2007 memang sangat memeranjatkan bukan sahaja kami sekeluarga, malah saudara mara dan kenalan-kenalannya. Bahkan, ketika saya menelefonnya siang itu, dia masih berbicara seperti biasa. Ajal maut di tangan Tuhan. DariNya kita datang, kepadaNya juga kita kembali. Sungguh banyak hikmah atas pemergiannya. Alhamdulillah fi kullihal..

Kadang-kadang, sukar digambar dengan kata-kata apabila kenangan bersama arwah menjelma. Kerinduan kepada yang telah tiada hanya mampu dikirim doa dan ingatan kepadanya. Adakalanya, rajin bonda mengajak saya ziarahi kuburnya andai saya pulang ke rumah. Dan diajarkan kepada adik bongsu saya adab menziarahi arwah dan diimbaskan juga kenangan bersama arwah agar dia tidak lupakan arwah.

Lucu juga apabila mendengar rakan-rakan berkongsi tentang konflik dengan ayah sendiri. Merajuk kerana tidak dapat bepergian sama-sama, dimarahi kerana tidak angkat panggilan, malah ada juga rakan yang masih belum faham dengan karenah seorang lelaki bernama ayah! Walau apapun kisahnya, bersyukurlah dan hargailah setiap karenah itu selagi insan bernama ayah itu ada..

”Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." [Al-Israa’:24]

No comments: