Wednesday, April 14, 2010

.:Akhlak muslim:.

Menyantuni kepelbagaian sikap dan identiti individu yang kita kenali, kita sepatutnya membenarkan juga setiap dari kita untuk mempunyai solusi masalah masing-masing dengan cara masing-masing. Ibarat 4 orang khulafa’ arrasyidin yang miliki karekter masing-masing tetapi masih mempunyai aqidah, tanggungjawab dan keakraban yang begitu hampir dengan baginda s.a.w. Abu Bakar dengan kelembutan hatinya, Umar dengan ketegasannya, Uthman dengan kedermawanannya dan Ali dengan keadilannya mentadbir rakyat.

Refleks kepada identiti kita sendiri, adakah kita sedar bahawa qudwah [pekerti] siapa yang lebih hampir kita miliki? Tidak mengapa jika kita tidak memiliki qudwah sebaik Rasulullah s.a.w atau khulafa’ ar-rasyidin tersebut. Namun apabila kita menyedari qudwah seperti mereka inilah yang Allah janjikan dimasukkan ke dalam syurga, lekas-lekas semat dalam diri agar belajar melatih diri mempunyai akhlak seperti mereka. Untung-untung, pengislahan [pembaikan] yang kita lakukan diterima Allah dan dihapuskan dosa lepas dari diri yang punyai akhlak yang tidak elok. Beruntunglah orang yang menjadikan hari ini lebih baik daripada hari semalam.


Dalam proses membentuk identiti dan akhlak yang baik tersebut, rujukan utama yang perlu kita utamakan tentunya Al-Quran dan sunnah. Al-Quran yang merupakan panduan hidup orang mukmin, memiliki pelbagai nasihat dan teladan dari kisah-kisah surah yang Allah firmankan. Perhatikan peringatan Allah dalam surah Hud ayat 1 hingga 3:

“Alif Lam Ra. Inilah Kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi kemudian dijelaskan secara terperinci,(yang diturunkan) dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Teliti.”

“ Agar kamu tidak menyembah selain Allah. Sesungguhnya aku (Muhammad) adalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira dariNya untukmu.”

“ Dan hendaklah kamu memohon ampunan kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya, niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai waktu yang telah ditentukan. Dan Dia akan memberikan kurniaNya kepada setiap orang yang berbuat baik. Dan jika kamu berpaling, maka sungguh, aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari yang besar [Kiamat].”

Sahabat-sahabat, suka untuk saya kongsikan beberapa koleksi bahan bacaan yang boleh sama-sama kita bedah dalam usaha mengutamakan rujukan yang utama seterusnya meningkatkan kecintaan sebenar kepada Rabb yang Esa.

1. Tafsir Al-Wadhih keluaran Pustaka Salam

2. Tip-tip Cemerlang Daripada Al-Quran karya Dr.Danial Zainal Abidin

3. Mengapa Al-Quran karya Mohammad Kayum A.Badaruddin


No comments: